Sunday, July 5, 2009

* Sifat Buruk Punca Azab *



SETIAP Muslim wajib meyakini rahmat dan azab yang mewarnai hidup manusia adalah datang daripada Allah. Allah saja yang Maha Mengetahui bila dan di mana ia akan dilimpahkan dan ditimpa pada seseorang mahupun pada sesebuah bangsa. Jelas di sini bahawa Allah menegaskan rahmat-Nya dan azab-Nya banyak bergantung pada nilai keimanan dan juga nilai kekufuran yang wujud dalam sesebuah masyarakat.

Iman ialah pegangan iktikad yang mutlak (bersungguh-sungguh dan yakin) bahawa Allah adalah Pemilik, Pencipta dan Tuhan sekalian alam dan hanya Dia yang berhak disembah, manakala kufur pula ialah menolak kebenaran Islam selepas menganuti. Dalam erti kata lain, kufur bermaksud keluar dan menyeleweng daripada landasan iman. Dengan ini, iman dan kufur adalah dua perkara yang berlawanan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Asakir, Rasulullah pernah menyatakan bahawa punca petaka dan azab itu ada tiga iaitu; takbur, hasad dengki dan tamak.

Sifat takbur dan sombong boleh menyebabkan seseorang atau sesebuah bangsa itu lupa diri sehingga dia tidak pernah menyedari akan berlakunya kesilapan, kekeliruan, kesalahan mahupun kekurangan. Oleh sebab itu, sifat takbur itu akan menghalangnya daripada mengambil peringatan dan juga nasihat daripada pelbagai musibah, fenomena dan masalah yang melanda. Hal ini kerana hati mereka sudah pun tertutup rapat dan sudah tentu mereka begitu sukar untuk menerima sebarang nasihat mahupun peringatan.

Hasad dengki pula adalah penyakit tidak senang kepada orang lain yang memperoleh pelbagai nikmat anugerah Ilahi berbanding dengannya, maka dia mempergunakan segala macam helah untuk menghalang atau menghapuskan nikmat tersebut daripada musuhnya. Natijahnya, muncul bibit permusuhan dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan di antara sesama manusia.

Manakala sifat tamak pula akan menumbuhkan sifat egoistik dan materialistik. Jika sifat tersebut ada pada diri seseorang atau sesebuah bangsa, maka dia akan menjadi hamba dunia yang bersifat fana ini.

Jika ketiga-tiga sifat keji ini dibiarkan membarah dalam diri seseorang dan juga sesebuah bangsa, dia akan menghalalkan semua cara dan jalan demi kehendak hawa nafsunya. Akibatnya, azab Allah dan malapetaka akan menimpa kepada umat itu kerana mereka menderhaka terhadap Allah. Malah rahmat Ilahi dan keberkatan-Nya amat jauh dan semakin sulit sekali untuk digapai dan dijejaki.


[ Di Petik :http://politikbanjar.blogspot.com/ ]


No comments: