Sunday, June 21, 2009

*Cerpen [Udruga Wijaya Malasingha]*


__[ Di Petik Dari : Ramli Abdul Halim ]__



'MALU?. Kenapa dia mesti malu?'

Dia berpegang pada kata ibu dan ayahnya, sifat malu, rendah diri, kalah roma dan pelbagai sifat yang sererti makna lagi tidak akan menjadi lampu ajaib atau switch-on untuk meraih jaya. Yang pasti, dia tidak akan mati kerana malu atau dimalukan dan dia tidak akan hidup kerana puji dan puja atau dikagumi dan dihormati. Pokok pangkalnya, moral dan pekerti kena dipelihara dan dijaga. Doa kena sentiasa dipanjatkan supaya iman dan takwa semakin kental, hidup sentiasa dipayungi taufik dan hidayah-Nya.

Orang mahu ketawa, mahu mempersenda, mahu memikirkan kepelikan namanya sampai sakit dan pecah kepala pun, biarlah dan silakan kalau dirasakan apa yang mereka lakukan itu bukan kerja sia-sia. Yang dia tahu dan kalau boleh mahu diberitahu kepada semua orang, dia bangga dengan namanya, nama pilihan ibu dan bapanya yang sangat disayanginya dan amat menyayanginya. Dia yakin ibu dan ayahnya ada sebab dan alasan sendiri dalam memberikan nama anak-anak.

“Udruga Wijaya Malasingha,” dia memperkenalkan namanya. Suaranya lantang membuktikan sifatnya yang sentiasa yakin kepada diri sendiri.

“Bangsa?”

“Melayu.”

“Agama?”

“Islam.”

“Kerwarganegaraan?”

“Malaysia.”

“Kerakyatan?”

“Kelantan.”

Soal-soalan yang diajukan kepadanya dijawab dengan cepat dan tetap. Itu yang diajar oleh ibu dan ayahnya. Kredibiliti, hemah, prestasi, reputasi dan tahap kecerdikan dan pemilikan ilmu pengetahuan seseorang, kata ayahnya, akan terserlah melalui cara percakapan.

“Nama awak....”

“Udruga Wijaya Malasingha, cikgu,” ulangnya.

Seisi kelas ketawa berderai. Ada yang sampai terbatuk-batuk. Bagi mereka, bagi bakal rakan-rakan sekelasnya, mungkin namanya pelik dan hanya dia manusia tunggal yang bernama sedemikian. Tetapi baginya, juga bagi keluarganya, nama yang menjadi tanda pengenalan dirinya adalah nama biasa, nama yang tercatat dalam sijil kelahiran dan kini tercatat dalam kad pengenalan serta dalam segala dokumennya.

“Kenapa semua orang ketawa? Apa yang lucunya, apa yang menyebabkan hati semua orang dalam kelas ni tergeletek dan tergaru?” soalnya dengan suara yang agak tinggi apabila mendapati guru kelas pun turut ketawa sama.

“Siapa ayah dan ibu awak?” tanya guru kelas.

Seisi kelas terdiam dan saling berpandangan sesama sendiri bila diberitahu nama ibu dan ayahnya. Seorang yang dikenali, dihormati dan disegani.

Wajah guru kelas tiba-tiba menjadi agak keruh.

“Saya berpindah ke sekolah ni kerana keluarga saya memilih menetap di sini dan mahu mati di sini, di kampung kelahiran ibu dan ayah saya ni. Dia juga mahu saya merasakan bagaimana susahnya hidup di kawasan agak pedalaman begini tetapi penduduknya sepakat dan tali persaudaraan mereka sentiasa erat. Saya harap rakan-rakan baru saya di sekolah ini boleh menerima saya sebagai sahabat, sebagai rakan yang saling perlu memerlukan, saling bantu membantu. Jangan melihat saya sebagai anak orang ternama. Yang ternama itu ibu dan ayah saya, bukannya saya,” ucapnya. Lancar, penuh gaya dan yakin.

“Bagi mereka nama awak pelik.”

“Bukan bagi mereka sahaja tetapi bagi cikgu juga kan?”

Guru kelas mengangguk.

“Itu tandanya rakan-rakan dan cikgu sendiri buta sejarah bangsa sendiri. Rakan-rakan dan cikgu kurang ilmu bantu.” syarahnya.

“Apa kaitan nama awak dengan sejarah bangsa kita?” tanya guru kelas.

Giliran Udruga Wijaya Malasingha pula ketawa.

“Ada yang tahu siapa Cik Siti Wan Kembang?” soalnya.

“Dia hanya legenda. Belum tentu wujud,” sahut guru kelas.

“Jelas dan terbukti cikgu buta sejarah, walhal cikgu mengajar mata pelajaran sejarah. Saya tidak pelik kalau rakan-rakan sekelas menganggap Cik Siti Wan Kembang hanya legenda dan menganggap mungkin cerita mengenainya hanyalah sengaja diada-adakan. Ini adalah kerana cikgu sendiri pun beranggapan begitu.”

“Awak sendiri tahu tak, siapa Cik Siti Wan Kembang?”

“Tentulah. Saya ambil tahu dan diberitahu kerana nama saya yang menjadi bahan ketawa rakan-rakan dan cikgu sendiri ada kait berkait dengannya.”

“Saya tak faham,” guru kelas kebingungan.

Udruga Wijaya Malasingha yang merupakan anak kepada tokoh ternama yang meminati dan terlibat dalam kajian sejarah bangsa, memeranjatkan seisi kelas apabila menyebut Udruga Wijaya Malasingha itu adalah nama sebenar Cik Siti Wan Kembang. Nama Cik Siti Wan Kembang digunakan setelah dikurniakan kawasan Selatan Kelantan untuk diperintahnya sebagai raja oleh ayandanya bernama Raja Sang Tawal dengan pusat pemerintahannya bertempat di Kota Kuala Krai. Udruga Wijaya Malasingha juga adalah cucu kepada Raja Skrantayang memegang kuasa pemerintahan Empayar Melayur meliputi Tumasik hingga ke Bangkok, Campa atau Kemboja, Sri Lanka, Sumatera, Sunda dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Apabila kuasa pemerintahan diserahkan kepada anak-anaknya, Raja Skranta pergi ke Pasai dan menjadi penasihat kepada Sultan Malikul Salleh. Antara anak Skranta adalah ayah kepada Udruga Wijaya Malasingha yang menggunakan nama gelaran Cik Siti Wan Kembang apabila menjadi raja Selatan Kelantan dengan negerinya itu diberi nama Serendah Sekebun Bunga Cerang Tenggayung Kisaran Payung.

“Ada tak yang tahu kenapa Udruga Wijaya Malasingha dianugerahkan kawasan berkenaan? Maksud saya untuk menjadi raja bagi kawasan Selatan Kelantan?” pertanyaannya tidak disahut. Seisi kelas, termasuk guru kelas terlopong dengan mulut tergohong.

“Jawabnya kerana jasa Udruga Wijaya Malasingha sangat besar. Kerana dialah, maka negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu terselamat daripada jatuh ke penaklukan Siam.”

“Awak ada bukti. Ada fakta?” tanya guru kelas sebagai seorang guru sejarah.

Menurut Udruga Wijaya Malasingha, Cik Siti Wan Kembang atau nama asalnya Udruga Wijaya Malasingha yang sama seperti namanya diberi gelaran wirawati Melayur dan sebagai pemerintah kawasan Selatan Kelantan kerana kejayaannya membunuh Rama Khamheng selaku raja Sukhothai atau Siam yang menduduki takhta pemerintahan pada tahun 1283 hingga 1317.

Keturunan Rama Kamheng sekarang ini banyak menjadi Sami Buddha. Dalam sejarah, Rama Kamheng terkenal sebagai Rama Yang Berani dan telah mengetuai kemaraan Siam untuk menakluki Semenanjung Tanah Melayu dengan menerima sokongan Kublai Khan dari Cina dan sebelumnya telah berjaya menawan Sri Dhamaraja, kota pemerintahan bagai SemenanjungTanah Melayu ketika itu. Nama Sri Dhamaraja kemudian ditukar kepada Ligor atau Nakhorn Sithammarat sekarang dan menjadi sebahagian daripada negara Siam atau Thailand hingga sekarang. Kemaraan Rama Kamheng telah disekat oleh Raja Sang Tawal dan berlakulah peperangan yang hebat di Chaiya, Segenting Kra.

Peperangan yang berlaku pada tahun 1317 itu turut disertai oleh Puteri Udruga Wijaya Malasingha yang bersenjatakan seligi batang nibung sambil menunggang gajah. Udruga Wijaya Malasingha telah melompat ke atas gajah tunggangan Rama Kramheng dan meradak seligi batang nibung yang bukan sahaja membawa kepada kematian Rama Kamheng dan kekalahan Sukhothai, tetapi menjadikan keturunan raja Sukhothai itu tidak lagi berminat menjadi raja, sebaliknya lebih minat menjadi sami Buddha.

“Kerana jasa besar Udruga Wijaya Malasingha kepada agama, bangsa dan negaralah, maka bapa saya dengan persetujuan ibu telah menamakan saya dengan nama itu. Kata ayah saya, bila nama saya disebut, anak bangsa yang celik sejarah, yang tahu nilai sejarah akan ingatkan jasa besar Udruga Wijaya Malasingha. Bayangkan betapa beraninya dia dalam mempertaruhkan nyawa dan daerah menentang musuh,” syarahan Udruga Wijaya Malasingha membuatkan rakan-rakan sekelas dan guru kelas mengangguk-anggukkan kepala.

“Udruga Wijaya Malasingha nama besar dan berjasa besar. Saya secara peribadi rasa malu kerana saya tidak tahu mengenainya. Saya setuju dengan kata awak, saya adalah antara anak bangsa yang kekurangan ilmu bantu mengenai sejarah bangsa sendiri,” akui guru kelas.

“Tadi....”

“Nama saya Udruga Wijaya Malasingha,” dia segera memintas memberitahu namanya bila rakan sekelas agak sukar untuk mengingati dan menyebut namanya. Rakan sekelasnya itu agak segak orangnya.

“Nama pendeknya?” tanya pelajar lelaki rakan sekelasnya.

“Dalam keluarga, saya dipanggil Mala sahaja.”

“Saya pun mahu panggil awak Mala.”

“Suka hati awaklah.”

“Tadi awak sebut Sukhothai, nama bagi negara Siam.”

“Ya. Dinasti Sukhothai adalah bagi tempoh 1238-1350. Ia kemudian berganti dengan Dinasti Ayuthaya bagi tempoh 1350-1709 sebelum bertukar kepada Dinasti Bangkok bermula pada tahun 1782 hingga kini,” penjelasan Udruga Wijaya Malasingha membuatkan rakan sekelasnya itu tersenyum puas.

“Boleh saya tau nama awak?”

“Saya Syeikh Ahmad Fakri Bunaq bin Syeikh Jaafar Fakri Bunaq Al-Turkiyyah.”

“Keluarga awak tentu berasal dari Lumpli dekat Bangkok?”

“Kata ibu bapa saya begitulah. Tapi macam mana awak tahu?”

“Keturunan awak keturunan bersejarah, keturunan Syeikh Ahmad, jeneral tentera Kerajaan Othmaniah di Turki yang dihantar untuk berdakwah ke Nusantara. Dia bertanggungjawab memerdekakan Siam daripada penjajahan Burma. Orang Siam terhutang budi kepada keturunan awak. Syeikh Ahmad menjadi menteri luar dan perkapalan Ayuthaya bagi tempoh 1648 hingga 1630 dan sebagai penasihat raja paling kanan bagi tempoh 1630 hingga 1656. Kerana jasa besar itulah keturunan awak diberi gelaran Bunaq.”

Ketika loceng menandakan rehat berdering dan semua rakan sekelas bagi Tingkatan Lima Anggerik keluar kelas untuk ke kantin, Udruga Wijaya Malasingha dan Syeikh Ahmad Fakri Bunaq bin Syeikh Jaafar Fakri Bunaq Al-Turkiyyah, masih bercakap tentang sejarah.

Guru kelas turut tumpang sekaki mendengar keletah Udruga Wijaya Malasingha bercakap tentang kehebatan sejarah Melayu kerana dia tidak mahu menjadi guru yang ketandusan ilmu bantu lagi, menjadi guru sejarah yang buta sejarah bangsa sendiri. Kalau bukan kemunculan Udruga Wijaya Malasingha, dia tidak akan tahu bahawa nama itu adalah nama asal Cik Siti Wan Kembang, malah dia tidak akan tahu bahawa keturunan seorang lagi muridnya yang banyak berdiam diri daripada bercakap, Syeikh Ahmad Fakri Bunaq bin Syeikh Jaafar Fakri Bunaq Al-Turkiyyah, juga merupakan keturunan yang berjasa besar kepada sejarah kehebatan agama dan bangsa.


__[ Masih.Ada.Sayang ]__


5 comments:

Kish said...

Sekadar Pandangan :
Cikgu sekarang, bukan mcm cikgu zaman dulu. Cikgu dulu2 mengajar sepenuh hati, mendidik dengan jiwa utk bangsa. Tp realitinya, yg keluar skang ni cume setakat atas nama sbg pendidik. X semua, tapi majoritinya.. susah nak cari cikgu/pendidik yg betul2 berkualiti zaman cyber ni. huhu~!

amza said...

To Kish :
Benar juga pendangan Kish, sepatutnya di zaman cyber ni lagi senang untuk menambah ilmu, klip je semua ada , cuma mau atau tidak , rajin atau malas, minat atau tidak. kesempatan ini agar cerpen itu menambah ilmu pembaca. terima kasih kish kerana memberi komen.

Anonymous said...

masih ada lagikah org2 yang meletakkan nama unik2 sebegini yea?

*tiba2 teringin letak nama anak camni..

Kish said...

To Krsty :
he he, unik n klasik mcm nama si mawar comel kan? ngeh~! (nak koya skit ni pk name bakal anak2 saya nanti, he he)

Anonymous said...

kalo lelaki,nak letak nama2 pahlawan dolu2..
mnarik juge..tp x tau ape..:D